BERITA UTAMANASIONAL

Tun Mahathir secara rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-7

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V, sebentar tadi.

Majlis angkat sumpah disempurnakan sekitar jam 10 malam diikuti majlis menandatangani beberapa dokumen menyimpan kerahsiaan kerajaan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kemudiannya membacakan doa sebagai penutup istiadat mengangkat sumpah Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Ia kali kedua Mahathir menjadi perdana menteri dan kali pertama beliau memimpin negara, pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Mahathir adalah perdana menteri paling lama memimpin Malaysia, selama 22 tahun.

Beliau yang berpakaian serba hitam tiba di Pintu 2 Istana sekitar jam 4.40 petang sambil diringi beberapa pimpinan PAKATAN.

Turut kelihatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Nurul Izzah Anwar.

Sementara suasana kian meriah di perkarangan luar Istana Negara apabila lebih 300 rakyat Malaysia terus meraikan kejayaan PAKATAN, semalam.

PAKATAN berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat pertama kali, selepas 61 tahun.

Penyokong tampil sambil membawa bendera KEADILAN, merakam foto kenangan dan menyanyikan lagu Negaraku.

PAKATAN menang majoriti mudah 113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Antara negeri yang ditawan adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur serta mengekalkan kemenangan, di Selangor juga Pulau Pinang.


Pengarang :