SELANGOR

Turun padang bukan ketika PRU sahaja

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 4 MEI: Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menepis stigma sesetengah pihak yang mendakwa calon atau wakil rakyat hanya turun padang sewaktu berkempen, pada pilihan raya sahaja.

Azmizam berkata, sejak diberi tugas sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang selama dua tahun bermula 26 Mac 2016, beliau sudah turun padang menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

“Selama dua tahun saya jadi penyelaras, berdasarkan rekod sudah hampir 20,000 penduduk di kawasan ini menerima program Kerajaan Negeri, iaitu Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Malah, sejak 26 Mac 2016 pejabat saya beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan cuma rehat dua jam untuk menunaikan solat Maghrib serta makan malam,” katanya selepas sesi ‘walkabout’ di Pasar Malam Pandamaran Jaya, di sini, semalam.

Terdahulu, Azmizam sempat membuat lawatan di pasar malam berkenaan dengan bertemu beberapa pengunjung yang hadir.

Masing-masing kelihatan senang dengan kehadiran Azmizam, malah ada juga meminta untuk bergambar bersama beliau dan tidak kurang juga ada yang melaungkan ‘reformasi’ sebagai tanda sokongan.

Sementara itu, salah seorang penduduk Pandamaran Jaya, R Vijaya, 53, berkata, beliau amat senang dan memuji sifat keprihatinan dalam diri Azmizam.

“Azmizam amat prihatin dan pantas menyelesaikan permasalahan rakyat, semasa saya mahu memohon program IPR, beliau banyak membantu memudahkan proses permohonan,” katanya yang juga pemegang kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Manakala, Azlan Zulkifli, 56, mengakui Azmizam sering turun padang menyelami masalah penduduk sejak memulakan tugas sebagai Penyelaras DUN.

“Azmizam sememangnya tidak berhenti bekerja, kepimpinan seperti inilah yang kita mahukan menjadi wakil rakyat yang bukan hanya mendengar masalah rakyat, pada waktu pilihan raya sahaja,” katanya.


Pengarang :