SUKANKINI

UCL: Kyiv sedia sambut Real Madrid dan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 24 MEI: Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine bersedia menanti kehadirian lebih 70,000 penyokong bagi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Real Madrid dan Liverpool, hujung minggu ini.

Turun selaku juara tiga edisi dalam tempoh empat tahun, Real Madrid pasti mahu melakar kemenangan ke-13 dalam sejarah UCL, manakala Liverpool mengharapkan penantian lebih 10 tahun untuk ke pentas akhir menjadi mimpi indah.

Pihak penganjur sudah melakukan persiapan akhir dalam memastikan paparan iklan, kualiti padang dan keselamatan penyokong berada, pada tahap terbaik menjelang aksi hujung minggu ini.

Dua pengurus pasukan, Zinedine Zidane dan Jurgen Klopp pastinya sedang melakukan persiapan akhir serta melaungkan keyakinan tinggi untuk mendakap trofi Eropah dalam karier sebagai pengurus pasukan terbaik.

Tumpuan pastinya terarah kepada rangkaian serangan ‘MFS’ Liverpool yang dipelopori Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah, manakala Cristiano Ronaldo bakal mengetuai bahagian hadapan ‘BBC’ Real Madrid dengan membentuk gandingan bersama Karim Benzema serta Gareth Bale.

Dalam perkembangan lain, portal Independent.com melaporkan, firma keselamatan Ukraine mengeluarkan amaran bahawa perlawanan akhir antara Real Madrid dan Liverpool bakal diancam serangan siber dari Rusia.

“Pakar Perkhidmatan Keselamatan percaya serangan perkakasan (siber) di wilayah Ukraine adalah persiapan untuk tindakan agresif siber lain oleh Persekutuan Rusia yang bertujuan menggugat kestabilan situasi semasa final Liga Juara-Juara,” katanya.

Kredit Foto:UEFA Champions League


Pengarang :