NASIONAL

Umno… 60 tahun pun tak cukup?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Umno Barisan Nasional sudah diberi peluang selama 60 tahun mengurus pentadbiran negara, sejak kemerdekaan lalu.

Justeru kata, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, tempoh lama itu memerlukan perubahan pentadbiran baru yang lebih jelas dan telus, di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Naib Presiden PAKATAN itu berkata, pentadbiran Umno kini lebih memburukkan imej negara di mata dunia berkait skandal kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Rakyat sudah tidak tahan lagi apabila melihat pengurusan ekonomi negara semakin parah. Maruah kita sebagai rakyat Malaysia di luar negara sangat buruk dan memalukan.

“Lihat sahaja akhbar luar negara, semua melaporkan penyelewengan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Tapi Malaysia? Banyak skandal ditutup. Apa nak jadi Malaysia sekarang?

“Justeru kita perlu bulatkan tekad untuk selamatkan negara dengan membuat perubahan. Cukuplah, sudah 60 tahun kita beri peluang mereka memerintah.

“Beri peluang kepada PAKATAN. Cukup-cukuplah Umno,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Sebelum ini, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui Umno sudah terlalu lama mentadbir negara.

Lebih memburukkan katanya, parti itu juga sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya di bawah urus tadbir Najib Razak.

=EZY=


Pengarang :