NASIONAL

‘Undi anda bina semula negara’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Rakyat Malaysia perlu membina semula negara dengan keluar mengundi esok, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin.

Katanya, ia ekoran keadaan ekonomi negara terjejas teruk beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menyebabkan peluang pekerjaan berkurangan.

Katanya, lebih menyedihkan apabila kualiti pendidikan yang dahulunya dianggap cemerlang sudah semakin hilang serinya.

“Ada ibu bapa yang sanggup menggadaikan harta mereka semata untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran di luar negara dan kemudiannya terus menetap di sana untuk bekerja.

“Lebih teruk ada antara pemimpin yang tidak bertanggungjawab menyebabkan penyatuan kaum kian terhakis, justeru kita jangan kalah, masih ada harapan untuk Malaysia bangkit ke arah lebih baik. Mengundilah, gunakan peluang itu sebaiknya,” katanya melalui kenyataan kepada SelangorKini.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini bukan bertujuan memilih pemimpin lain samata-mata tetapi membayangkan untuk memperolehi Malaysia baru lebih segar.

“Negara kita ini dirahmati dengan mempunyai pelbagai sumber ekonomi, malah rakyatnya juga bekerja keras dan terdapat ribuan usahawan baru.

“Lebih penting, warganegara kita rata-ratanya terdiri daripada mereka yang cerdik pandai, buktinya dalam kalangan negara Asean, Malaysia mempunyai tahap pendidikan baik, “katanya.

 


Pengarang :