SELANGOR

UNISEL kini lebih hijau

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Seramai 500 warga Universiti Selangor (UNISEL) menyertai program gotong-royong menanam pokok bertujuan menjadikan universiti itu sebuah kampus hijau.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sebanyak 385 batang anak pokok dari spesis Kelat Paya berjaya ditanam, hari ini.

Redzuan berkata, aktiviti itu dianjurkan susulan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor dan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.

“Dengan terbentuknya kerajaan baharu di peringkat persekutuan akan memberikan kelebihan buat UNISEL yang dijadikan model dalam Janji 50 kerajaan PAKATAN untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pengajian tinggi.

“Kerjasama dengan Kerajaan Selangor juga akan diteruskan dibawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan juga akan kita laksanakan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Hadir sama memeriahkan program penanaman pokok ini adalah ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin, pengurusan tertinggi UNISEL serta ketua-ketua jabatan.

Turut hadir memeriahkan program adalah mantan Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang kini merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia.


Pengarang :