GLOBALSUKANKINI

Wan Kuzain catat sejarah beraksi dl MLS

 

OLEH HAFIZAN TAIB

GLOBAL, 29 MEI: Pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, mencatat sejarah apabila diturunkan buat kali pertama dalam perlawanan antara Sporting Kansas City dan Columbia Crew SC di Children’s Mercy Park, Kansas, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Detik bersejarah buat Wan Kuzain, 19, dalam Major League Soccer (MLS) itu dicatat, pada minit ke-87 apabila pengurus pasukan, Peter Vermes membuat keputusan memasukkannya menggantikan Roger Espinoza.

Beliau yang memegang kerakyatan AS dan Malaysia, melahirkan keterujaan apabila diberi peluang oleh pengurusan kelab untuk tampil dalam pelawanan pertama itu.

“Sukar dipercayai apabila dapat membuat penampilan debut bersama @SportingKC malam tadi (semalam). Diharap banyak lagi akan menyusul selepas ini,” katanya merujuk perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Dengan penampilan itu, Wan Kuzain adalah produk Akademik Sporting Kansas City yang menjadi pemain tempatan kedua termuda untuk pasukan berkenaan.

Pemain tengah yang lahir dari pasangan ibu bapa Malaysia di Carbondale, Illinois, menandatangani kontrak dengan Sporting KC sebagai pemain tempatan kesembilan kelab, pada 13 April lalu dengan bakat digilap dari Swope Park Rangers ke skuad remaja Sporting KC seterusnya skuad senior.

Perkembangan dalam tempoh dua tahun terakhir itu membuka laluannya sebagai pemain profesional dirintis Vermes dan kakitangan teknikal termasuk jurulatih, Paulo Nagamura dan Pengarah Akademi, Jon Parry.


Pengarang :