NASIONAL

Wanita UMNO hanya diperalat – Zuraida

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 8 MEI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mempertikaikan kedudukan Wanita UMNO dalam barisan kepimpinan parti terbabit.

Katanya, kebanyakan golongan wanita dari parti itu hanya digunakan ketika kempen pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

“Bila ada kempen barulah mereka digerakkan, tidak sedarkah anda wahai Wanita UMNO, anda hanya diperalatkan,” katanya ketika ceramah di Bukit Antarabangsa.

Namun katanya, keadaan berbeza bagi wanita KEADILAN mahupun Pakatan Harapan (PAKATAN) yang sentiasa memberi ruang kepada golongan itu untuk bersama mentadbir negeri mahupun parti.

Katanya, KEADILAN turut mensasarkan 30 peratus wanita memegang pelbagai jawatan di peringkat pentadbiran.

“Kerajaan Selangor di bawah PAKATAN sebelum ini turut mempunyai Timbalan Speaker yang juga wanita pertama di Selangor menjawat jawatan berkenaan, begitu juga kita melantik exco wanita.

“Malah, pada PRU14 calon wanita PAKATAN meningkat 22 peratus berbanding PRU13 lalu hanya 16 peratus dan perjuangan kita bersifat berterusan serta berjaya meruntuhkan tembok patriaki juga stereotaip gender yang dibina Barisan Nasional selama ini,” katanya.

 


Pengarang :