NASIONAL

YDPA muktamad pembebasan Anwar esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memuktamadkan pengampunan dan pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Dalam kenyataan Istana Negara, Sultan Muhammad V berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan untuk pembebasan segera Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN) itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, mesyuarat itu pada awalnya ditetapkan pada Selasa, namun ditangguhkan ke 11 pagi, Rabu ini atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada 16 Mei, Rabu menjelang Ramadan,” katanya.

Lembaga Pengampunan itu dipengerusikan YDPA dan dianggotai Perdana Menteri dan peguam negara yang akan mempertimbangkan petisyen pengampunan serta pembebasan Anwar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, YDPA sedia memberi pengampunan diraja dan pembebasan serta-merta kepada Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun, pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas kes Fitnah II.

Anwar yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh sepatutnya dibebaskan, pada 8 Jun ini.


Pengarang :