NASIONAL

Zuraida azam laksana perbandaran selamat, kerajaan tempatan bertaraf global

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi kabinet baru di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Zuraida berkata, portfolio itu membolehkannya meneliti perumahan seimbang untuk Bumiputera di kawasan bandar besar termasuk hak golongan minoriti, orang asal dan warganegara lain agar mereka juga menikmati kediaman selesa.

“Ini adalah antara perkara yang akan saya berikan perhatian. Kini saya berpeluang untuk meneliti segala dasar dan pelaksanaan kementerian terbabit dengan lebih mendalam. Saya yakin banyak penambahbaikan dan cadangan dengan substantif dapat dilaksanakan, ” katanya kepada SelangorKini.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PAKATAN berkata, beliau akan turut meneliti reformasi dari sudut perkhidmatan perbandaran yang selamat dan mesra gender.

“Justeru, pengurusan perbandaran dan kerajaan tempatan yang profesional dan berkelas antarabangsa dapat dimulakan perlaksanaannya.

“Manakala pemberdayaan komuniti akan diberi penekanan utama selaras dengan kepesatan perubahan dalam negara,” katanya.

Wanita berusia 60 tahun ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam dunia korporat, termasuk, Pengurus Penyelidik dan Perancangan Akaun, Chuo Senko Advertising (Jepun), Pengarah Pengiklanan Bersekutu, Saatchi&Saatchi serta Pengurus Jualan Kebangsaan, Avon (M) Berhad.

 


Pengarang :