NASIONAL

Zuraida: Lawan sukar gugat PAKATAN di Ampang

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, optimis dengan sokongan rakyat di Parlimen Ampang yang akan memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu, pelbagai masalah setempat berjaya diatasi dan masyarakat setempat berpuas hati kerana ia dilakukan dari semasa ke semasa.

“Saya amat yakin dengan peluang mengekalkan Parlimen Ampang terutamanya sokongan rakyat di DUN Bukit Antarabangsa kerana tiada isu besar berlaku di sini.

“Untuk PRU kali ini , saya memberi tumpuan kepada isu nasional antaranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kos sara hidup dan pendidikan,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sememangnya isu dinyatakan itu mendatangkan beban kepada majoriti rakyat dan sokongan perlu diberikan kepada PAKATAN bagi mengantikan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.

“Kita ingin melaksanakan perubahan dan apa dijanjikan akan ditunaikan sekiranya rakyat memberi mandat bagi mengambialih Putrajaya,” katanya.

Pada PRU kali ini, Zuraida akan berdepan cabaran tiga calon iaitu, Leong Kim Soon (BN), Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS) dan Tan Hua Meng (PRM).

Beliau mula memenangi Parlimen Ampang pada 2008 mengalahkan Azman Wahid (BN) dengan majoriti 3,676 undi apabila mendapat 26,995 undi berbanding lawannya (23,319).

Pada PRU13, majoriti lebih besar diperolehnya (13,278) apabila mendapat 41,969 undi berbanding Dr Rozaidah Talib (BN) (28,691).


Pengarang :