NASIONAL

112,725 peneroka Felda terima duit raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai 112,725 peneroka Felda bakal menikmati pemberian insentif kewangan berjumlah RM450 bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seramai 7,431 peneroka bukan ahli juga bakal menikmati pemberian insentif sama.

“Pemberian insentif ini adalah untuk meringankan beban kewangan dan kos sara hidup rakyat menjelang sambutan raya ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pemberian insentif itu memberi kesan implikasi kewangan negara sebanyak RM50 juta.

Selain itu kata Perdana Menteri, RM44 juta juga turut diperuntukkan bagi pembiayaan peruntukan bayaran insentif raya kepada peneroka tanah Felcra.

“Kerajaan memperuntukkan untuk Felda dan Felcra mengeluarkan peruntukkannya untuk sumbangan raya ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, Putrajaya pagi ini.

Untuk rekod, ini merupakan pengumuman bantuan kali pertama dibuat Kerajaan baru selepas pentadbiran Putrajaya bertukar tampuk kepimpinan.

=EZY=


Pengarang :