SELANGOR

2,000 penduduk Sungai Tua rai MB baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 20 JUN: Lebih 2,000 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua meraikan Amirudin Shari yang baru sahaja dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar, semalam.

Menteri Besar Selangor ke-16 itu menerima sokongan lebih 10 tahun daripada penduduk di situ, buktinya sejak menyertai pilihan raya umum (PRU), undi diterima semakin meningkat iaitu 11,015 pada 2008, 14,552 (2013) dan 17,446 (2018).

Amirudin berkata, ekoran itu sebuah majlis kesyukuran dan solat hajat diadakan bagi menghargai sokongan berkenaan serta mendoakan kelancaran pentadbirannya, tidak lama lagi.

“Saya pohon doa dan sokongan dari rakan dan masyarakat di Sungai Tua supaya saya terus diberi kekuatan, kebijaksanaan serta keimanan dalam mengemudi pentadbiran Selangor Darul Ehsan yang tercinta.

“Majlis ringkas ini juga untuk memberitahu penduduk bahawa saya sudah dilantik sebagai Menteri Besar baharu dan sudah tentu fokus utama adalah rakyat,” katanya pada majlis kesyukuran, di Masjid Al Alamin Batu Caves, malam tadi.

Majlis turut diserikan dengan bacaan Yassin, solat hajat dan berjemaah sebelum diakhiri acara makan malam.

Salah seorang anak kariah, Zaharah Ayob, 68, berkata beliau sentiasa memberi sokongan terhadap Amirudin, sejak 2008 lagi.

“Saya setuju dengan kepimpinan beliau yang ramah dan tidak segan silu menegur penduduk kawasannya, saya berharap sikap rendah dirinya itu dibawa bersama walaupun sudah bergelar menteri besar,” katanya.

Bagi Muhammad Mukhlis Mohd Mohsin, 34, beliau berbangga kerana Ahli Dewan Negeri dari kawasannya dipilih sebagai menteri besar baharu.

“Saya berharap pembangunan dari aspek pekerjaan dan kemudahan awam sentiasa diberi penekanan, tidak sangka undi yang diberikan kepadanya pada PRU14 lalu berbaloi.

“Kami sebagai pengundi akan sentiasa mendoakan kepimpinannya diberkati ALLAH SWT,” katanya.

Amirudin, 38, bergelar ADN Sungai Tua sejak 2008, selain memegang jawatan Exco Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan sebelum ini.


Pengarang :