SELANGOR

36 tahun berkhidmat, YDP MPSepang bersara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 1 JUN: Dato’ Puasa Md Taib secara rasminya menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam selepas menabur bakti selama 36 tahun, sejak 1982.

Beliau yang menjawat jawatan terakhir di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebagai Yang Dipertua (YDP) sejak 3 tahun lalu secara rasminya, menamatkan tugas beliau, semalam.

Bercakap kepada SelangorKini, beliau berkata, kemajuan MPSepang didorong hasil kecekapan pentadbiran yang mengangkat prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Katanya, ia turut didukung komitmen dan aspirasi berterusan MPSepang untuk kukuh menjadi sebuah Perbandaran Hijau dan Sejahtera.

“Beberapa pendekatan terbaik telah dilaksanakan meliputi gerak kerja pegawai, staff, anggota sokongan dan komuniti bandar yang diberi perhatian menyeluruh bagi memastikan perbandaran ini dalam keadaan selesa dan selamat.

“Saya berharap gerak kerja ini diteruskan sebaik mungkin oleh pengganti saya dengan melaksanakan dasar baru yang bersifat progresif atau memperkukuhkan pelan pembangunan sedia ada demi kesejahteraan komuniti bandar dan kakitangan MPSepang,” katanya.

Terdahulu, majlis persaraan beliau diadakan di Lobi Utama, MPSepang, dengan disaksikan lebih 200 kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Pada majlis itu, beliau diberi tabik hormat pegawai dan kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MPSepang, sebagai mengenang jasa dan khidmat bakti beliau memacu pelan pembangunan di PBT itu.

Sebelumnya, Mohd Puasa merekodkan kedatangan akhir pada mesin perakam masa, sebagai simbolik tamat perkhidmatan beliau di MPSepang.

Untuk rekod, Mohd Puasa mula berkhidmat sebagai penjawat awam sebagai Pegawai Tadbir Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (Gred N3), pada 16 Jun 1982 hingga Februari 1987.

Beliau juga pernah menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada April 1996 hingga Januari 2001.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Mei 2007.

Sepanjang perkhidmatan beliau di MPSepang, pelbagai kejayaan dan pelan pembangunan dilaksanakan bagi mengangkat imej PBT itu di Selangor.

Ini termasuklah kejayaan penambahan pendapatan MPSepang sebanyak RM150 juta bagi tujuan penyediaan belanjawan tahunan dan kejayaan Pelan Strategik 2015-2020.

 


Pengarang :