NASIONAL

5 kementerian – UNICEF kerjasama wujud pelan peduli kanak-kanak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: PUTRAJAYA: Lima kementerian bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bekerjasama mewujudkan sebuah pelan bagi menangani isu melibatkan kanak-kanak.

Inisiatif itu melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rangka Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak yang dijangka memakan masa sebulan itu bakal memberi fokus isu kanak-kanak bantut, pelarian, penderaan seksual dan kebajikan secara menyeluruh.

“Langkah itu diambil demi membela nasib kanak-kanak sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan bagi mencari pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah ini.

“Mesyuarat antara kementerian hari ini adalah untuk menunjukkan kesungguhan kita dalam menyelesai serta menangani permasalahan ini sehingga ke akar umbi,” katanya ketika sidang media di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, semalam.

Katanya, perlu wujud keperluan membangunkan pendekatan berintegrasi bagi menangani masalah kanak-kanak bantut kerana ia bukan sahaja berkait isu kesihatan tetapi melibatkan masalah sosial.

“Kita tak layak bercakap tentang membangunkan masa depan yang lebih baik mahupun kita masyarakat penyayang jika kita abaikan mereka yang memerlukan perhatian,” katanya.

Difahamkan hal itu merujuk kepada laporan “Kanak-Kanak Pinggiran” yang diterbitkan UNICEF dimana masalah kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

Ia menunjukkan sebanyak 10 peratus kanak-kanak yang tinggal di PPR terbabit menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.


Pengarang :