SUKANKINI

6 perlawanan mantapkan Harimau Malaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjadikan enam perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan ke Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 dan membaiki rangking semasa skuad bola sepak kebangsaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, semua perlawanan bersatus A dari Julai hingga November adalah medan terbaik buat skuad kendalian jurulatih, Tan Cheng Hoe, membentuk skuad mantap dalam meraih kejayaan.

“Enam perlawanan persahabatan ini bakal menjadi pentas terbaik bagi memperbaiki lagi kedudukan semasa Malaysia di tangga 171 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain medan ujian buat Cheng Hoe mempersiapkan pasukan menjelang Piala Suzuki AFF 2018 dari 8 November hingga 15 Disember ini.

“Semoga dengan perancangan teliti diatur dapat menghasilkan keputusan positif buat skuad Harimau Malaya sepanjang kempen kejohanan itu,” katanya.

FAM mengesahkan pasukan bola sepak negara akan menghadapi enam perlawanan persahabatan antarabangsa iaitu melawan Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 5 Julai diikuti menentang Taiwan di Taipei, 7 September seterusnya berdepan Kemboja di Phnom Penh, 10 September.

Dua perlawanan lagi ialah bertemu Sri Lanka di Colombo, 12 Oktober dan Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 Oktober.

Beliau berkata, satu lagi perlawanan persahabatan dirancang pada 3 November 2018 di Kuala Lumpur tetapi pasukan lawannya masih belum disahkan untuk ujian terakhir sebelum skuad Harimau Malaya ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2018 bertemu Kemboja pada 8 November.


Pengarang :