GLOBAL

7 cedera pemandu teksi rempuh pejalan kaki

MOSCOW 17 JUN: Seorang pemandu teksi membawa kenderaannya merempuh pejalan kaki berhampiran Red Square di ibu negara Russia semalam, menyebabkan tujuh cedera termasuk dua warga Mexico.

Kejadian berlaku ketika penduduk dan peminat bola sepak berkumpul di tengah Moscow, tidak jauh dari Kremlin.

Russia menjadi hos kejohanan Piala Dunia kali ini.

Pihak berkuasa pengurusan trafik Moscow berkata, pemandu teksi berkenaan mempunyai lesen yang dikeluarkan di Kyrgyzstan, negara bekas Kesatuan Soviet.

Pemandu yang sudah ditahan itu memberitahu polis beliau tidak sengaja berbuat demikian, menurut rakaman dikeluarkan laman web polis Moscow.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, berkata dalam kenyataan di Twitter: “Ada kejadian tidak diingini membabitkan teksi. Pemandu hilang kawalan.”

Polis berkata, tujuh cedera dalam kejadian itu. Kedutaan Mexico di Moscow berkata, dua wanita rakyatnya cedera ringan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :