SELANGOR

ABIM rakam tahniah Amirudin Dato’ MB Selangor baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Amirudin Shari di atas pelantikan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pelantikan itu bagi menggantikan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap semoga pelantikan Dato’ Menteri Besar yang baharu itu akan terus memacu perkembangan ekonomi negeri dengan lebih pesat.

Katanya, ABIM turut berharap supaya Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Amirudin akan meneruskan segala dasar dan program kebajikan yang berorientasikan rakyat.

“Dengan pelantikan Amirudin selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu, kami mengharapkan Kerajaan Negeri dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan pelbagai pihak untuk menyumbang ke arah tatakelola negeri yang lebih baik,” katanya

Justeru, katanya, ABIM atas kapasiti sebagai pertubuhan belia bersedia menawarkan untuk terus menjalinkan kerjasama dalam bidang pembangunan belia dan generasi muda yang sudah dilaksanakan dengan baik oleh Amirudin sepanjang sesi lalu.

“Walaupun dalam usia Amirudin yang dianggap muda dalam kalangan masyarakat, ABIM menaruh keyakinan dengan kemampuan kepimpinan orang muda untuk mencorak landskap politik baru pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berharap dengan pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu ini dapat memenuhi aspirasi anak muda dan agenda reformai rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :