SELANGOR

ADN ucap tahniah, Amirudin ‘lakar sejarah’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN : Dato’ Menteri Besar baru, Amirudin Shari terus menerima ucapan penghargaan daripada masyarakat selepas dipilih menerajui kepimpinan negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke 16.

Tidak melepaskan peluang itu, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) turut sama menzahirkan penghargaan tahniah kepada ADN Sungai Tua itu.

Antaranya di Twitter, ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pemilihan Amirudin dianggap sebagai lakaran sejarah baru, selepas mengambil kira faktor usia muda Dato’ Menteri Besar itu yang baru berusia 38 tahun.

“Tahniah dan selamat berkhidmat buat sahabatku Amirudin Shari yang menempa sejarah baru sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Semoga diberi kekuatan dan hikmah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini kepada rakyat dan negeri,” katanya.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan Amirudin sebagai individu berkredibiliti dan layak menerajui kepimpinan negeri.

“Beliau seorang yang sangat bersemangat dan tegas. Ini memberikan kelebihan kepada beliau sebagai pemimpin muda untuk bekerja lebih kuat dan memberikan perhatian yang lebih kepada pembangunan anak muda Selangor.

“Tentunya saya akan memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen dalam membantu pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi ADN Gombak Setia, Hilman Idham, beliau percaya kredibiliti Amirudin untuk terus mengekalkan kemajuan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Amirudin Shari adalah kesinambungan kecemerlangan negeri Selangor. Stay cool bro!” katanya di Twitter.


Pengarang :