NASIONAL

Agong: Jauhi fitnah, hentikan pertelingkahan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Yang diPertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru rakyat untuk menghentikan pertelingkahan sesama umat dan jauhi fitnah.

Baginda bertitah, rakyat perlu terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaafan dan menyuburkan budaya kunjung mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim.

“Hentikan dan lupakanlah pertelingkahan sesama umat di hari yang mulia ini. Jauhilah fitnah menfitnah kerana dosa fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh.

“Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 191 bermaksud fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, hari ini.

Pada masa sama, baginda turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat malaysia, semoga sambutan kali ini dapat dimeriahkan dengan dengan agenda mengagungkan Allah dan menzahirkan kesyukuran kepadaNya.

Memetik surah Al Baqarah ayat 185, Sultan Muhammad berpesan kepada rakyat untuk sentiasa mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikan bagi mendidik sifat syukur dalam diri.

Baginda turut bertitah rakyat yang pulang berhari raya ke kampung halaman untuk mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Harapan beta semoga sambutan hari raya kali ini memberi impak dalam melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah dibumi Allah,” titah baginda.

 


Pengarang :