BERITA UTAMASELANGOR

Air mata Mohamed Azmin junjung kasih dukungan Sultan, rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 3 JUN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat menahan sebak mengenang sokongan diberikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sepanjang tempoh kepimpinan beliau, sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Berucap pada sembah ucapan takzim Dato’ Menteri Besar di hadapan baginda pada Majlis Iftar Masjid Zakaria, Gombak, Mohamed Azmin mengimbau pengalaman beliau ketika menerajui tampuk kepimpinan negeri.

“Sepanjang hidup patik, tidak pernah patik berdepan dugaan seberat ini untuk membuat pilihan. Selangor adalah hati dan nurani patik, negara pula adalah jiwa dan sanubari patik.

“Patik amat terharu, dengan dukungan dan sokongan yang gemuruh daripada sekalian rakyat Selangor khususnya penjawat awam Selangor dan anak muda yang mengamit harapan untuk patik kekal di Selangor.

“Sesungguhnya Selangor amat dekat di hati patik dan patik amat terkesan dengan permintaan rakyat untuk patik kekal memimpin Selangor

“Amat berat untuk patik meninggalkan Selangor, namun patik juga insaf, bahawa patik mempunyai tanggungjawab yang besar kepada rakyat dan negara Malaysia.

“Patik menyahut seruan tanah air untuk memberikan khidmat bakti kepada negara dan percayalah, patik akan terus bersama rakyat Selangor meneruskan kejayaan dan kemakmuran negeri Selangor,” sembah ucapan Dato’ Menteri Besar.

Difahamkan, ucapan sembah takzim itu dibuat untuk kali terakhir di hadapan baginda Sultan sebelum beliau melepaskan tugas sebagai Dato’ Menteri Besar, Aidilfitri ini.

Mohamed Azmin mula meneraju tampuk kepimpinan negeri pada 2014.

Sepanjang tempoh itu menyaksikan Selangor mengalami perkembangan kemajuan ekonomi negeri dan berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri termaju di Malaysia.

Pada masa sama, selepas kejayaan terbesar Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu, Mohamed Azmin dipilih sebagai jemaah kabinet baru oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kini menganggotai kabinet Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

=EZY=


Pengarang :