SUKANKINI

Amir mahu RMS galas jawatan Presiden FAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Susulan perletakkan jawatan Datuk Seri Subahan Kamal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Amirudin Shari mahu Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih jawatan itu.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda, Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, baginda layak menggalas tugas terbabit berdasarkan merit dan ketokohan yang dilihat.

“Ketokohan baginda sudah pasti sangat trampil. Baginda mengasas ‘Football Selangor’ dan ‘Selangor Champions League’.

“Begitu juga dengan penubuhan Komuniti Belia Selangor (SAY), oleh itu, baginda sememangnya sangat layak,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kewibawaan baginda sudah tentu dapat memberikan nafas baru kepada pengurusan bola sepak di negeri itu.

Selain sokongan Kerajaan Negeri, beliau turut mahu menyalurkan semua dana dan menyelesaikan isu Stadium Shah Alam.

Amirudin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Raja Muda itu bagi menyusun semula program bola sepak Selangor.

“Apa-apa pun, ia perlu dibuat secara menyeluruh untuk menjernihkan semula perselisihan beberapa individu dalam FAS dan Kerajaan Negeri.

“Masalah sebelum ini boleh dilupakan dan dipadamkan atau dimaafkan. Mereka boleh meminta maaf,” katanya.

Terdahulu, kemelut dalaman FAS bermula apabila segelintir daripada kepimpinan di dalam FAS menentang perubahan yang cuba dibawa oleh Presiden FAS ketika itu, iaitu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, dalam satu mesyuarat kumpulan yang membantah dan tindakan yang dianggap mencabar kedudukan Kerajaan Negeri serta angkuh Dato’ Pegawai Kewangan Negeri mencadangkan agar segala kemudahan yang dinikmati FAS ditarik balik serta merta.

Ia sekali gus menyebabkan gelanggang rasmi pasukan The Red Giant itu ditarik balik, dan Amirudin mengecam cubaan pihak tertentu yang cuba menggunakan sentimen politik dalam hal terbabit.

 


Pengarang :