BERITA UTAMASELANGOR

Amirudin iringi Sultan Selangor solat Jumaat

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 22 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli berangkat menunaikan solat fardhu Jumaat, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Baginda tiba sekitar jam 12.45 petang disambut Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari.

Itu merupakan kali pertama Amirudin menemani Sultan Selangor menunaikan solat Jumaat bersama selepas mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengiringi baginda mendirikan solat sunat tahiyatul masjid.

Solat Jumaat dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya dengan khutbah Jumaat bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Usia’.

Khatib mengingatkan para jemaah sentiasa melakukan amal soleh, apabila umur di ambang usia emas dan melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangannya.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah turut meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum meninggalkan perkarangan masjid sekitar 2.15 petang.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, Amirudin Shari dipilih memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16 bagi menggantikan tempat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.


Pengarang :