SELANGOR

Amirudin optimis tambah baik perancangan di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari optimis mahu menambahbaik segala perancangan yang sudah dilaksanakan di Selangor.

Beliau berkata, buat masa sekarang segala perancangan yang sudah dilaksanakan akan diteruskan seperti biasa.

“Jika saya mahu ubah nanti khuatir ia mendatangkan keadaan yang tidak baik oleh itu kita akan terus sahaja melaksanakannya dengan beberapa langkah penambahbaikkan sahaja,” katanya apabila diminta mengulas pembaharuan yang akan beliau bawa kepada Selangor setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari di kediaman Exco Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin turut optimis akan sentiasa turun padang selain memastikan semua projek dan perancangan yang sudah disusun berjalan dengan baik.

“Saya tidak menjadi masalah untuk turun padang memandangkan sebelum ini pun selalu turun padang bola sepak,” katanya sambil berseloroh.

Amirudin berkata, beliau yakin dan percaya dengan pasukan yang sedia ada terutamanya daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Ahli Dewan Negeri (ADN) mampu untuknya melaksanakan segala perancangan sebaiknya.

“Saya ada masa dua, tiga, empat tahun untuk buktikan kepada rakyat dan orang sekeliling, saya yakin dengan pasukan yang ada kita mampu melaksanakan perancangan sebaik mungkin,” katanya.

=EZY=


Pengarang :