SELANGORSUKANKINI

Amirudin sedia ‘ubah’, Reformasi baru FAS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Pembaharuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, tindakan menyeluruh bakal dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Perkembangan FAS itu kita tunggu sehingga Julai ini. Selepas selesai proses perubahan, kita akan ambil tindakan (pembaharuan) menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Dato’ Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Pergolakan antara pengurusan tertinggi FAS dan Kerajaan Negeri dilaporkan berlaku susulan wujudnya pertikaian sentimen politik dalaman pengurusan FAS.

Amirudin sebelum ini menegaskan pentadbiran negeri kekal menjaga kepentingan sukan bola sepak dan menolak sebarang dakwaan cuba memanipulasikan isu berkenaan.

Beliau turut mendedahkan, kemelut dalaman FAS bermula apabila segelintir daripada kepimpinan di dalam FAS menentang perubahan yang cuba dibawa oleh Presiden FAS ketika itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, FAS kini mula melalui fasa penjenamaan baru selepas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerajui kepimpinan tertinggi FAS sebagai Presiden baru FAS.


Pengarang :