BERITA UTAMASELANGOR

Amirudin: Teruskan dasar peduli rakyat, layanan adil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 23 JUN: Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar yang baharu meneruskan dasar peduli rakyat tanpa membezakan idealogi politik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini kerana semua golongan yang memerlukan pembelaan di Selangor wajar mendapat layanan adil.

“Insha Allah tidak ada pilih kasih untuk pembangunan, kemakmuran, kesejahteraan rakyat, kebajikan kepada rakyat dan peduli kepada rakyat.

“Sikap kita Pakatan Rakyat sejak 2008 sehinggalah Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 2013 seterusnya pada 2018 tak pernah berubah di mana kita kekal menjaga kebajikan rakyat secara mengikut keperluan tanpa mengira warna politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Ahmad Mustain Othman di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata, dasar buta warna politik sama yang diamalkan sejak 2008 berjaya membela golongan memerlukan meningkatkan tafaf hidup keluarga masing-masing.

Katanya, sehingga kini Kerajaan Negeri mempunyai hampir 40 skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk membantu rakyat Selangor meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Amirudin berkata beliau juga akan memberikan tumpuan di Sabak Bernam dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di daerah terbabit.

“Insha Allah kawasan ini akan menjadi kawasan tumpuan saya setahun dua akan datang ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :