NASIONAL

Anwar bersama sidang media PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul buat pertama kali bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Majlis Presiden, gabungan itu di Menara Yayasan Selangor, tengah hari ini.

Ironinya, pada sidang media itu, Anwar tampil duduk bersebelahan bersama bekas seteru politiknya itu, selepas pembebasan beliau sebagai tahanan politik di Sungai Buloh, Mei lalu.

Walaupun tidak memberikan sebarang kenyataan pada sidang media ini, Anwar kelihatan tenang mendengar setiap penjelasan Tun Mahathir ketika diajukan pelbagai soalan daripada pemberita.

Sidang media berkenaan diadakan selepas Majlis Presiden mengadakan mensyuarat gabungan itu, pagi ini.

Difahamkan, ini merupakan mesyuarat Majlis Presiden kali pertama yang dihadiri Anwar, selepas dilantik menerajui kepimpinan tertinggi PAKATAN sejak penubuhan gabungan itu dibuat.

Hadir sama pada sidang media ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir barisan jemaah menteri kabinet PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Sallahudin Ayub, Lim Guan Eng, M Kula Segaran, Anthony Loke dan Gobind Singh.


Pengarang :