NASIONAL

Anwar menghadap Agong perinci pembentukan kerajaan baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Pertemuan antara Yang DiPertua Agong, Sultan Muhammad V dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah bagi memperincikan pembentukan kerajaan baharu.

Anwar berkata, pihaknya turut memberi maklum bahawa kerajaan komited mempertahankan perlembagaan termasuklah pemerintahan monarki.

“Saya bertemu dengan hampir semua institusi diraja di negara ini, pastinya keprihatinan raja-raja perlu dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

“Ini kerana mereka berada di kedudukan yang berkecuali dan tidak mampu untuk respons terhadap sebarang kebimbangan rakyat.

“Sudah tentu mereka menyambut dengan baik dan berbesar hati kerana kami komited untuk mempertahankan perlembagaan dan termasuk sistem monarki itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian.

Turut ditanya adalah berkenaan kedudukan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan baharu mempunyai peranan dalam menjamin institusi itu.

Katanya, ia termasuk merombak semula badan berkenaan bagi memastikan ia lebih berkesan di samping mengelakkan berlaku tanggapan yang salah.

“Ini adalah kerana Baginda melihat perkembangan menerusi media sosial dari masa ke semasa bahawa terdapat tindakan yang dilihat bertentangan dengan Islam malah ada di antara membuat permintaan yang melebih,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Yang Di Pertuan Agong juga menerima pemecatan Tan Sri Apandi Ali dan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu.

Bagaimanapun, katanya, baginda mahu ia mengukuhkan dan mempertahankan kedudukan mengikut perlembagaan termasuk hak istimewa Melayu serta hak Bumiputera di samping mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Saya menjawab, Tuanku mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan itu,” katanya.


Pengarang :