SELANGOR

APM Selangor sedia 1,000 anggota sempena Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 4 JUN: Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor (APM Selangor) bersiap sedia dengan 1,000 anggota bagi menghadapi sebarang kes kemalangan atau bencana, menjelang Aidilfitri.

Pengarah Pertahanan Awam Selangor, Kolonel Ghazali Abd Rahman berkata, pihaknya melancarkan Ops Selamat dan Ops Bantu yang turut mendapat kerjasama anggota keselamatan lain.

“Sepanjang Ops Selamat dijalankan, beberapa anggota APM dan ambulan akan ditempatkan di beberapa laluan utama antaranya di Jalan Persekutuan Kajang-Semenyih, Rawang – Kuala Kubu Baruserta Sabak Bernam – Kuala Selangorjuga dua laluan lagi di Daerah Kuala Langat dan Klang.

“Kawasan ini adalah kes kemalangan sering berlaku dan APM menempatkan anggota di kawasan itu bertujuan membolehkan tindakan kecemasan segera dilakukan tanpa memakan masa lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama anggota APM Selangor di Dewan Gemilang Mercu Idaman, German Malaysia Institute (GMI), di sini.

Ghazali turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas yang terpaksa berkorban kerana tidak dapat bersama keluarga meraikan hari lebaran demi tugas serta tanggungjawab yang dipikul.

“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya untuk pulang beraya dan memastikan kenderaan berfungsi dengan baik serta rehat yang cukup ketika perjalanan pulang ke kampung,” katanya.


Pengarang :