GLOBAL

Arab Saudi ancam guna tindakan ketenteraan terhadap Qatar

PARIS 3 JUN: Raja Salman Abdulaziz mengancam akan mengenakan tindakan ketenteraan terhadap Qatar jika negara itu memasang sistem pertahanan udara buatan Rusia.

Akhbar Perancis, Le Monde melaporkan, Raja Salman telah menulis surat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron melahirkan kebimbangan terhadap rundingan antara Doha dan Moscow dan kemungkinan Qatar mampu menghantar peluru berpandu.

“Arab Saudi bersedia mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menghapuskan sistem pertahanan termasuk menggunakan tindakan ketenteraan,’’ lapor akhbar yang memetik kenyataan daripada surat berkenaan.

Raja Salman telah meminta bantuan Macron untuk menghalang penjualan peluru berpandu dan mengekalkan keamanan di rantau terbabit.

Difahamkan surat tersebut telah dihantar baru-baru ini.

Qatar dan Rusia telah menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan dan teknikal pada Januari lalu dan sedang berunding untuk membeli sistem pertahanan udara peluru berpandu S-400 buatan Rusia.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :