GLOBAL

Arab Saudi tamatkan larangan wanita memandu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUN: Larangan memandu ke atas golongan wanita, di Arab Saudi ditamatkan secara rasmi, semalam.

Penyampai televisyen Saudi, Sabika al-Dosari berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha Putera Mahkota Mohammed Salman memodenkan negara pengeluar minyak itu.

“Ribuan pemandu wanita dijangka menguasai jalan raya sebaik sahaja larangan berusia lebih sedekad yang dianggap sebagai satu penindasan terhadap wanita itu ditamatkan.

“Ia adalah detik bersejarah untuk semua wanita di Arab Saudi,” katanya dipetik AFP.

Tindakan berkenaan diramal menyuntik transformasi terhadap ramai wanita kerana membantu mereka membebaskan diri daripada bergantung kepada pemandu atau saudara lelaki, sekali gus membawa kepada penjimatan wang yang amat besar.

“Masa yang terbuang kerana perlu menunggu ketibaan pemandu sudah berakhir,” kata seorang penuntut jurusan farmasi berusia 21 tahun, Hatoun Dakhil.

“Kami tidak lagi memerlukan lelaki untuk memandu,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi awal bulan ini buat pertama kali sejak beberapa dekad lalu mula mengeluarkan lesen memandu untuk golongan wanita.


Pengarang :