SUKANKINI

ARRC lancar kategori perlumbaan ASB1000

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUN: Kejohanan Motosikal Asia FIM (ARRC) melancarkan kategori baharu pelumbaan, ASB1000 yang bakal memulakan saingan, pada tahun depan.

Perlumbaan 1,000cc dilancarkan di Litar Suzuka, Jepun dilihat sebagai pelengkap kepada saingan siri Asia yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan perlumbaan motosikal, di benua itu.

Pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg berkata, pihaknya berbangga dengan Kejuaraan ARRC yang akhirnya mencapai tahap kelas ASB1000 yang menjadi keperluan bagi siri perlumbaan itu.

“Apabila ia mula diperkenalkan pada 1996, misi kami sentiasa mempromosi dan membangunkan sukan perlumbaan motosikal di rantau ini serta selama beberapa dekad, kami sentiasa berpegang teguh terhadap misi ini.

“Kelas ASB1000 sebagai saingan tahap tertinggi akan melengkapkan ARRC dengan menyediakan kategori saingan hebat antara pelumba untuk muncul juara,” katanya.

Kelas ASB1000 akan dijalankan mengikut peraturan FIM Superstock dengan perlumbaan menggunakan tayar ditaja syarikat pengeluar, Dunlop.

Wakilnya, Sadahiko Matsumura berkata, Dunlop komited sepenuhnya kepada kelas ASB1000 seperti sebelumnya apabila syarikat itu menyokong ARRC sejak 1996.

Untuk ASB1000, katanya, Dunlop akan menyediakan lapan set tayar setiap hujung minggu perlumbaan dengan dua pilihan sebatian.

“Perancangan ini menawarkan lebih banyak pilihan untuk memenuhi keperluan pelbagai pasukan dan jika kejohanan memutuskan untuk melaksanakan SuperPole, Dunlop juga akan menyediakan tayar sesuai untuk perlumbaan ini,” katanya.

Manakala wakil FIM Asia, Kendy Chan memaklumkan, sokongan penuh diberikan terhadap langkah memperkenalkan perlumbaan kelas 1,000 cc itu.

“Ini akan menyuntik minat dan pertumbuhan baharu ke dalam sukan Asia serta pasti akan memberi impak baik dari segi perspektif pembangunan bagi pelumba,” katanya.


Pengarang :