GLOBAL

AS, China runding kerjasama isu keselamatan

BEIJING 27 JUN: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), James Mattis tiba di Beijing dalam rangka lawatan pertama ke China semalam bertujuan untuk mencari ruang bagi menjalin kerjasama ketenteraan ketika ketegangan keselamatan antara dua kuasa besar berkenaan semakin meruncing.

Ketika Washington dan Beijing terlibat dalam perang perdagangan yang bertambah buruk, ditambah dengan kebimbangan Pentagon mengenai tindakan China menempatkan senjata di pulau-pulau tuntutan bertindih di Laut China Selatan, Matthis menyatakan bahawa beliau akan berusaha untuk mencari kesepakatan melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara termasuk memujuk Korea Selatan melucutkan senjata nuklearnya.

Mattis dijadualkan menemui rakan sejawatnya iaitu Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe buat kali pertama di samping barisan pegawai kanan lain untuk ‘menilai’ pandangan mereka.

Kali terkahir Setiausaha Pertahanan AS melawat China adalah empat tahun lalu, justeru kata Matthis, komunikasi antara tentera kedua-dua negara perlu diperkukuhkan.

“Cara menangani isu antara dua negara ini adalah dengan terlebih dahulu mewujudkan dialog yang telus: bagaimana China melihat hubungan dengan AS berkembang dan bagaimana pula kami melihat ia berkembang,” katanya.

Dalam satu kenyataan menjelang lawatan tersebut, jurucakap Kementerian Pertahanan China, Ren Guoqiang berkata, mereka perlu bekerjasama untuk menjadikan hubungan ketenteraan dua hala sebagai faktor penting dalam menstabilkan hubungan kedua-dua negara.

Matthis yang merupakan ketua Pentagon akan turut melawat Korea Selatan dan Jepun semasa rangka lawatan empat hari ke rantau berkenaan.

Beliau tiba di Beijing ketika ancaman perdagangan antara China dan AS makin meningkat dengan perlaksanaan tarif dijangka dibuat pada minggu hadapan.

Matthis bagaimanapun menjelaskan bahawa perbincangan beliau terhad kepada hubungan ketenteraan dan rundingan berkaitan isu nuklear Pyongyang.

SUMBER: AFP


Pengarang :