Selangorkini
NASIONAL

AS percepat siasatan 1MDB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Penyiasat Amerika Syarikat mempercepatkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Reuters melaporkan, lebih banyak bukti bertukar dengan pihak berkuasa Malaysia ketika ini.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya menerima sebahagian daripada wang AS$4.5 bilion yang didakwa daripada 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula percaya, kerajaan baharu bersedia bekerjasama ketika pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS berkata, walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan mendakwa Najib dan sekutu, namun mereka lebih berminat jika Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya.

Difahamkan Najib kini mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lalu, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1).


Pengarang :