BERITA UTAMASELANGOR

Ayuh mensyukuri Eidulfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.

Segak mengenakan sepasang baju Melayu berwarna biru muda, baginda tiba sekitar jam 7.20 pagi dan disambut Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta Sohibus Samahah Dato’ Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna ungu.

Solat sunat Aidilfitri berjemaah dimulakan pada jam 8 pagi yang dipimpin Imam Masjid Negeri, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Mensyukuri Eidulfitri’ pula disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Mufti Selangor.

Mimbar antaranya memberikan peringatan supaya terus bertaqwa dan mentaati perintah Allah seperti yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Disamping itu, amalan bermaafan dan ziarah bagi menyambung silaturrahim turut diingatkan supaya perpaduan sesama ummah dapat dikekalkan.

Dikesempatan ini juga, para jemaah mengambil peluang bersalaman serta bergambar bersama Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor serta pimpinan Kerajaan Negeri sebelum Baginda berangkat meninggalkan perkarangan masjid sekitar jam 9 pagi.

 

 

 

 


Pengarang :