NASIONAL

Azmin jumpa Anwar isu jumpa YDPA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan tidak memperoleh butiran lanjut mengenai topik perbincangan Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar itu berkata, maklum balas mengenai pertemuan itu akan diketahui apabila beliau mengadakan perjumpaan bersama mantan Timbalan Perdana Menteri itu, hari ini.

“Saya akan menemui beliau pada jam 3 petang ini dan akan mendapat butiran lanjut mengenainya nanti,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Dilaporkan Anwar mengadap dan mengadakan pertemuan dengan Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, malam tadi, berkaitan polemik pelantikan Peguam Negara.

Isu pelantikan Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan nama peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.


Pengarang :