BERITA UTAMASELANGOR

Azmin: Senarai akhir calon MB selesai diteliti bersama Anwar

OLEh SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 2 JUN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan senarai nama akhir calon Dato’ Menteri Besar Selangor baharu selesai diteliti.

Mohamed Azmin berkata, perkara itu diputuskan bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka malam tadi.

“Malam tadi, saya turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Umum KEADILAN mengenai senarai nama tersebut.

“Dalam perbincangan itu kita sudah mengenalpasti beberapa nama dan meneliti sehabis baik untuk mempersembahkan kesemua nama calon itu kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Aidilfitri di Masjid Jami’ul Huda, di sini, pagi tadi.

Mohamed Azmin berkata, sebelum itu pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti dan memaklumkan secara terus kepada pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor berhubung senarai nama berkenaan.

Bagaimanapun Mohamed Azmin enggan mendedahkan jumlah senarai calon yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

“Kita dah ada beberapa nama, yang pastinya, lebih dari satu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :