SELANGOR

Azmin terima mesej, surat halang ‘tinggalkan’ Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 2 JUN : Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan telefon peribadinya menerima banyak mesej dan surat daripada rakyat negeri ini yang ‘menghalang’ beliau melepaskan jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, walaupun berat ‘melepaskan’ Selangor, namun amanah dan tanggungjawab untuk terus memastikan tatakelola negara dapat diurus dengan baik perlu dilaksanakan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan demi manfaat berterusan rakyat Selangor dan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

“Saya menerima banyak pesanan mesej dan surat yang menghalang saya meninggalkan Selangor.

“Begitu juga DYMM Tuanku Sultan Selangor yang tidak memberi perkenan pada awalnya untuk saya melepaskan jawatan di Selangor.

“Namun perlu diketahui bahawa saya cukup sayangkan rakyat Selangor dan menganggap rakyat negeri ini sebagai keluarga besar sejak empat tahun ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, ‘pemergian’ beliau ke Putrajaya dianggap sebagai langkah baru bagi memastikan kecermelangan ekonomi Selangor dapat dikekalkan.

Beliau optimis, kepentingan Selangor tidak akan dinafikan pentadbiran baru di Putrajaya kini.

“Walaupun saya ke Putrajaya, menjadi hasrat saya untuk terus memastikan Selangor terus kukuh dan berdaya maju.

“Disamping tanggungjawab saya untuk membawa Malaysia yang baru dan sejahtera pada masa depan,” katanya.

Mohamed Azmin dipilih menerajui kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baru, di Putrajaya.

Susulan daripada itu, Mohamed Azmin dilaporkan akan melepaskan jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar, selepas Aidilfitri ini.

Sepanjang empat tahun pentadbirannya, pelbagai dasar kecermelangan diperkenalkan di bawah legasi kepimpinannya yang menyaksikan Selangor bakal menjadi sebuah negeri pintar, menjelang 2025.

Selain itu, kecermelangan Mohamed Azmin menyaksikan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kemajuan ekonomi negara.

=EZY=

 


Pengarang :