NASIONAL

Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi Kerajaan – TPM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JUN: Bahasa Melayu tetap diangkat sebagai bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran Kerajaan Malaysia, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, polemik kononnya Kerajaan Pakatan Harapan menafikan penggunaan bahasa itu dalam urusan rasmi adalah tidak benar.

Justeru katanya, isu berkenaan seharusnya tidak diperbesarkan mana-mana pihak, supaya ia tidak lagi memberi pelbagai sentimen kepada masyarakat.

“Sudah lama dinyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kebangsaan.

“Tetapi kalau ada pihak yang mahukan terjemahan, itu tiada masalah. Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri sendiri, perkara ini bukan isu besar,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas reaksi umum terhadap laporan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan terjemahan Bahasa Mandarin dalam sidang mediannya, sebelum ini.

Bagaimanapun Lim menafikan penggunaan Bahasa Mandarin digunakan.

Sebaliknya, kenyataan tiga bahasa termasuk Bahasa Melayu disampaikan bagi memudahkan kerja pemberita.

Terdahulu, Wan Azizah hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE) di Seksyen 15, petang ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.


Pengarang :