Selangorkini
SELANGOR

Cacat penglihatan tak halang Khusaini baca al-Quran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN: Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, Khusaini Saimon, tidak membataskan kekurangan yang ada pada dirinya itu untuk tidak membaca al-Quran.

Khusaini, 62, berkata, beliau amat teruja dan gembira apabila diberi peluang pertama kali mengikuti program World #QuranHour di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Beliau yang juga dari KL Braille Resources itu berkata, fasiliti al-Quran Braille yang disediakan agensi berkenaan memudahkan golongan sepertinya untuk membaca dan memahami kitab suci itu.

“Setiap kali mengalunkan surah dalam kitab terbabit, hati saya berasa amat tenang dan sayu.

“Malah, tahun ini merupakan tahun kedua saya menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji inisiatif Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kepada golongan cacat penglihatan terutamanya.

“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan semoga lebih ramai golongan seperti kami dapat mengikutinya,”katanya.

Sementara itu, Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille yang sudah memasuki tahun kelima itu akan dilaksanakan 9 Jun ini dengan penglibatan beberapa peserta OKU dari seluruh negara.

“Pertandingan seumpama ini akan dijadikan acara tahunan dengan penglibatan golongan dewasa dan kanak-kanak pelbagai peringkat umur tampil menunjukkan kemahiran mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Langkah itu juga adalah sejajar dengan hasrat Selangor menjadikan sebagai sebuah pusat hab ilmu, maju dan berkebajikan,” katanya.


Pengarang :