Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai mengelak daripada menggunakan tiga produk kosmetik yang disahkan beracun. Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

Charles lapor SPRM dakwa ada monopoli pembekalan ubat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud unsur monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan.

Charles Santiago berkata, monopoli itu melibatkan tiga syarikat farmaseutikal yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital kerajaan dengan nilai antara RM3.7 bilion bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Katanya, laporan itu dibuat apabila beliau menerima dokumen yang mengandungi nama ahli politik, pegawai tinggi Kementerian Kesihatan dan individu berkait dengan ahli politik Umno yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah kepada tiga syarikat farmaseutikal terbabit.

“Maka tidak terkejut ahli politik Umno, bekas pegawai awam tertinggi dalam kementerian, keluarga dan kroni mereka yang tersenarai dalam dokumen ini menerima komisen yang besar daripada ejen tender terpilih.

“Saya mahu SPRM menyiasat syarikat dan individu terbabit kerana ada nama ahli politik di dalam dokumen ini pernah didakwa melakukan kesalahan rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Dimaklumkan segala dokumen tersebut sudah diserahkan kepada SPRM semalam.

Pada 2012, Charles berkata, kajian akademik Universiti Sains menunjukkan ubat sama dijual pada harga lebih tinggi di Malaysia berbanding Australia.

Katanya, laporan lain juga menunjukkan farmasi swasta Malaysia menjual ubat jenama inovator pada harga enam kali lebih tinggi daripada harga ubat rujukan antarabangsa (IRP).

“Dari 2011 hingga 2014, perbelanjaan ubat di sektor awam meningkat 27 peratus berbanding sektor swasta, yang meningkat sebanyak 20 peratus.

“Ini berlaku sebelum pelaksanaan GST. Walaupun kenaikan perbelanjaan ubat dalam sektor awam mungkin disebabkan bilangan pesakit lebih tinggi, namun ada kemungkinan korupsi dan monopoli dalam tender perubatan menyumbang kepada peningkatan,” katanya.

Selain itu, katanya, laporan Kajian Trend Global Medical Survey menunjukkan Malaysia mencatatkan trend kos perubatan kasar purata tertinggi di Asia Pasifik dari 2016 hingga 2018 berbeza dengan New Zealand dan Filipina.

“Laporan itu mendakwa kenaikan kos perubatan di rantau Asia Pasifik didorong oleh Malaysia, India, China dan Singapura.

“Bagi memastikan kawalan harga ubat terkawal, kerajaan perlu memastikan ia dilaksanakan secara sistem tender terbuka,” katanya.


Pengarang :