SELANGOR

Contohi Selangor sambut Hari Wesak secara rasmi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Komitmen Kerajaan Selangor menganjurkan perayaan Hari Wesak secara rasmi perlu dijadikan contoh untuk negeri lain.

Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Agama Budha Selangor, Loka Ng Sai Kai berkata, Selangor telah mencipta sejarah apabila menjadi negeri peneraju menganjurkan sambutan Hari Wesak di peringkat negeri pada 2011.

Katanya, perkara itu tidak pernah dilaksanakan di mana-mana negeri mahupun diperingkat persekutuan.

“Perayaan Wesak tidak pernah disambut secara rasmi sehinggalah Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengukir sejarah menjadi negeri pertama yang menyambutnya secara rasmi.

“Dengan kelahiran Malaysia baharu, kami berharap kerajaan negeri lain yang mendapat mandat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan akan mencontohi Selangor dalam menjalankan dasar dan program seperti ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika program Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

Ia merupakan penganjuran kali ke lapan dilaksanakan yang disertai lebih 40 persatuan agama buddha dari dalam dan luar negara.

Loke Ng Sai Kai berkata, sambutan kali itu lebih meriah diwarnai persembahan tarian dan nyanyian kebudayaan dari negara luar seperti Thailand, Sri Lanka dan Jepun.

“Dari dalam Malaysia, turut hadir beberapa kumpulan yang agak popular antaranya Sutra Foundatioon Artists yang dibimbing oleh Dato’ Ramli Ibrahim.

“Sehubungan itu, kami berharap negeri lain turut dapat melaksanakannya sebagai penghormatan kepada masyarakat buddha yang merupakan agama kedua terbesar di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam peringkat negeri untuk menyelaras perkara berkaitan permohonan tapak tanah untuk rumah ibadat.


Pengarang :