SUKANKINI

Croatia menang, Argentina berdepan laluan sukar

OLEH HAFIZAN TAIB

NIZHNY NOVGOROD, 22 JUN: Croatia mengalahkan Argentina 3 – 0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D di sini sekali gus melangkah ke peringkat 16 terakhir dalam Piala Dunia 2018.

Croatia mengenepikan cabaran juara Piala Dunia dua kali itu menerusi gol jaringan Ante Rebic, Luka Modric dan Ivan Rakitic pada separuh masa kedua perlawanan.

Rebic menjaringkan gol hasil kesilapan penjaga gol, Willy Caballero melalui satu hantaran ke belakang, dengan percubaan tepat pada minit ke 53.

Manakala ketua pasukan, Modric, menyumbat gol kedua dengan rembatan deras di luar kotak penalti pada sepuluh minit terakhir diikuti Rakitic dalam masa tambahan.

Persembahan berkesan Croatia banyak dibantu bahagian tengah dikemudi Modric bersama Rakitic dan Marcelo Brozovic yang menafikan Argentina walaupun turun dengan bintang Barcelona, Lionel Messi.

Kemenangan kedua selepas mengatasi Nigeria dalam perlawanan awal memastikan tempat Croatia ke peringkat kalah mati.

Manakala Argentina yang seri dengan Iceland sebelum ini berdepan jalan sukar dan perlu mencatat kemenangan ketika bertemu Nigeria bagi menghidupkan peluang.


Pengarang :