Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Sabah di 55 pusat mengundi.
NASIONAL

DAPSY Kebangsaan sambut baik turunkan had umur mengundi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan menyambut baik cadangan Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata, cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahthir Mohamad itu selari dengan perkembangan politik dan demokrasi sedunia.

“Selain Thailand, Australia, Denmark, Italy, Jerman dan hampir 100 negara lain, Japan serta Taiwan juga menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Langkah ini membuktikan kerajaan yakin dengan golongan anak muda untuk membuat pemilihan dan keputusan terbaik demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Tun Dr Mahathir dalam wawancara bersama akhbar Malay Mail bahawa kerajaan PAKATAN mungkin akan menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir menyifatkan cadangan itu dibuktikan melalui kesedaran politik yang kuat ditunjukkan oleh pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14, bulan lalu.

Pada masa sama, Kah Woh berkata, kerajaan juga harus mengambil langkah melaksanakan sistem pendaftaran pengundi otomatik bagi semua pengundi yang mencapai tahap umur mengundi.

Katanya, sistem pendaftaran pengundi otomatik tidak asing di negara demokrasi seperti Jerman, Perancis, Belgium, Sweden dan Amerika Syarikat merupakan antara yang melaksanaan polisi ini.

Untuk rekod, setakat September 2017, terdapat 3.6 juta warganegara layak mengundi tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Sementara, 2.5 juta daripadanya adalah golongan anak muda berumur antara 21 hingga 30 tahun.

“Keadaan ini bertambah serius selepas 2013 apabila Suruhanjaya Pilihan Raya ketika itu menamatkan semua perkhidmatan Penolong Daftar Pengundi untuk parti-parti politik.

“Ini merupakan satu tindakan bertentangan dengan perkembangan demokrasi.

“Sedangkan SPR mempunyai sistem hubungan talian terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara, dan secara teknikalnya pendaftaran pengundi otomatik adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya.


Pengarang :