SELANGOR

Dato’ Menteri Besar Selangor trending di twitter

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JUN: Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjadi buah mulut orang ramai termasuk netizen di laman media sosial.

Melalui laman media sosial, twitter, didapati #SelangorMB menjadi trending sejak semalam selepas mantan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan sesi clock out di pejabatnya.

Dalam tempoh kurang 24 jam, lebih 4,000 tweet mengenai #SelangorMB dilihat membanjiri laman twitter.

Rata-rata pengguna twitter seronok apabila Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua dilantik mengantikan Mohamed Azmin.

Salah seorang pengguna twitter, Roz Ana berkata, dia seronok apabila Menteri Besar baru sahaja berusia 38 tahun sekaligus mewakili golongan muda.

“Akhirnya golongan muda boleh menunjukkan bakat mereka kepada pemimpin yang lebih berusia,” demikian tulisnya.

Amirudin, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 menggantikan Mohamed Azmin yang menyertai senarai menteri Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Amirudin sebelum ini merupakan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

=EZY=


Pengarang :