NASIONAL

Denda sehingga RM100,000 jika keluar produk kosmetik beracun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Syarikat yang mengeluarkan produk kosmetik dikesan mengadungi racun berjadual boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM100,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan perkara itu ekoran lima jenis produk kosmetik dikesan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengandungi racun berjadual jenis merkuri, hydroquinone dan tretinoin yang boleh menjejaskan kesihatan.

Katanya, produk kosmetik terlibat iaitu Deeja Cosmetic Star Cream, Deeja Cosmetic Vogue Cream, Deeja Krim Nano (Night), Miracle White (Brightening Cream) dan Deluxe Beauty (Lightening Cream) telah dibatalkan notifikasi oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM.

“Penjual dan pengedar telah diberi amaran untuk menghentikan penjualan dengan serta merta kerana ia melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang ingkar boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun untuk kesalahan berikutnya.

“Manakala bagi syarikat yang ingkar bakal dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, orang awam yang menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya.

“Produk kosmetik yang dicampur merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana racun itu menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Manakala produk yang mengandungi hydroquinone akan menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Selain itu, bahan tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Pengguna dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman Web rasmi NPRA di http://npra.moh.gov.my/.


Pengarang :