SUKANKINI

Denmark, Australia seri 1 – 1

OLEH HAFIZAN TAIB

SAMARA, 21 JUN: Denmark dan Australia terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1 – 1 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Cosmos Arena, di sini.

Denmark menang 1 – 0 ketika bertemu Peru dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2018, mendahului lawan seawal minit ke tujuh melalui Christian Eriksen.

Pemain tengah Tottenham Hotspur itu menyudahkan hantaran Nicolai Jorgensen dengan satu tendangan deras dan gagal diselamatkan penjaga gol, Mathew Ryan.

Australia yang ketinggalan cuba meningkatkan permainan melalui serangan balas dilancar ke kubu Denmark dengan penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel beberapa kali menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun, Australia akhirnya menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan penalti selepas terkena tangan pemain RB Leipzig, Yussuf Poulsen dengan ketua pasukan, Mile Jedinak (m38) tidak melakukan kesilapan dan menghampakan Schmeichel di pintu gol.

Kedua pasukan meneruskan rentak bagi mencari gol namun terus gagal sehingga berakhir masa penuh permainan.

Selepas dua perlawanan, Denmark mengumpul empat mata dan Australia (satu) yang tewas 1 – 2 kepada Perancis masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya.


Pengarang :