NASIONAL

Diskaun tol 50 peratus dilanjut hingga 4 pagi esok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Bagi memastikan para pengguna rangkaian Lebuhraya PLUS dapat pulang berhari raya Aidilfitri dengan selamat, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini melanjutkan tempoh penawaran diskaun tol 50 peratus sehingga jam 4 pagi pada 15 Jun (Jumaat).

Komunikasi Korporat PLUS dalam kenyataannya berkata, lanjutan tempoh penawaran diskaun itu tersebut merangkumi semua transaksi tol kecuali kenderaan Kelas 2 dan 3.

Hal itu meliputi di semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Namun katanya, diskaun itu tidak melibatkan transaksi tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor.

“PLUS menghargai sokongan berterusan para pengguna terhadap perkhidmatan rangkaian lebuh rayanya dan ingin menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri mereka.

“Pada masa sama orang ramai diingatkan untuk memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi had laju serta arahan pihak berkuasa,” katanya.


Pengarang :