SELANGOR

Dr Idris sedia bekerjasama dengan Dato’ MB Selangor baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 19 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad, sedia bekerjasama baik dengan Dato’ Menteri Besar yang baharu dilantik.

Katanya, beliau sentiasa mengamalkan prinsip profesionalisme dan menghormati keputusan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya seorang yang profesional. Sesiapa yang dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar, saya akan hormat.

“Saya akan menyokong dan beri kerjasama sepenuhnya kerana saya seorang wakil rakyat,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Dato’ Menteri Besar yang baharu, pagi ini.

Bagaimanapun, Dr Idris berkata, beliau akan bersuara jika terdapat perkara yang tidak baik berlaku dalam kerajaan.

“Jika ada sesuatu yang tidak baik kepada masyarakat atau kerajaan, saya akan bersuara.

“Ini politik baru. Kita bukan Umno, pimpinan ikut sahaja. Kalau hitam, hitam lah. Kalau putih, putihlah.

“Kalau Umno, kalau tidak bagus pun, pimpinan bawah tetap ikut, saya tidak. Saya akan bersuara,” katanya yang juga anak jati Selangor.

Terdahulu, Dr Idris antara calon Dato’ Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mengulas tidak dilantik jawatan itu, beliau sedikit sebanyak berasa sedih, namun positif.

“Setiap orang mempunyai perasaan. Tetapi saya seorang positif dan hidup perlu diteruskan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :