SELANGOR

Dr Idris tolak tohmahan fitnah isu PTPTN

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 19 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad menolak tohmahan fitnah isu dana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Katanya, dakwaan tidak berasas itu turut berniat jahat dan menjejaskan reputasi sebagai wakil rakyat serta doktor perubatan.

“Saya percaya bahawa dakwaan tidak berasas ini berniat jahat dan dibuat untuk menjejaskan nama baik dan reputasi saya sebagai wakil rakyat dan doktor sakit puan.

“Sementara pihak polis dan mana-mana pihak berkenaan membuat siasatan terperinci.

“Saya akan mengambil tindakan sewajarnya demi membersih nama saya serta menghentikan sama sekali perbuatan fitnah ini,” katanya dalam sidang media di kediamannya, di sini.

Dr Idris menafikan campur tangan dalam isu terbabit sebaliknya, tidak pernah mencampuri pengurusan kolej.

Sehubungan itu, katanya, beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada jam 7 petang semalam.

“Kita juga akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama saya dengan isu ini, sedangkan saya seorang yang bersih,” katanya.

Pada masa sama, Dr Idris percaya penularan itu mempunyai agenda tersembunyi disebalik pencalonannya sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vision, Dato’ Lee Wee Loong mengesahkan kolej itu tidak pernah terbabit dengan mana-mana isu jenayah sejak penubuhannya 2005.

Malah, katanya, kolej terbabit menerima pelbagai pengiktirafan lima bintang daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Semalam, Dr Idris menerima maklumat menerusi FB Messenger di akaun Facebook kononnya beliau terbabit dengan isu PTPTN pelajar kolej itu.

=EZY=


Pengarang :